"...SALAM MEMANCING... JADIKAN IANYA SATU RIADAH YANG BERFAEDAH..."



KeKiLiEmAs

05 Januari 2010

Suami Apakah Ini...Isteri?


Jumpa lagi. Keselamatan sungai kita masih lagi tidak terjamin jika kes penuba, karan (elekrik shot) dan pembangunan tak terkawal masih berlaku. Namun syukur kerana setakat hari ini kita masih lagi boleh penuhi hobi kita itu walaupun tidak sehebat 5 - 6 tahun dulu. Kita akan terus memancing dan memancing selagi dibenarkan oleh kerajaan. Manalah tahu pada masa akan datang akan ada sekatan tertentu atau ada undang-undang baru untuk kaki pancing seperti perlukan permit atau lesen pula seperti pemburu binatang. Harap-harap tak adalah, tapi kalau dilaksanakan pun ok juga sekurang-kurang terjamin sedikit spesis-spesis ikan dan udang tu.

Sebut pasal sekatan ni aku teringat satu kisah tentang kawan sepemancingan aku.. Sedih juga bila keinginan kita disekat sedangkan hobi kita ini tidaklah salah dari segi hukum hakam asalkan tidak tinggal sembahyang dan tidak abai rumahtangga atau kerja. Kata orang yang bukan kaki pancing, memancing ni buang masa... perabis duit, tiada kelas dan macam-macam lagi. Aku malaslah nak komen dengan kritikan begitu kerana aku tahu orang macam tu hanya layak hidup dalam kumpulan yang sama seperti dia sahaja.

Berbalik pada kisah seorang kawan aku tadi yang hampir gila dalam kegiatan ni tapi begitu sukar untuk laksanakannya kerana kena pastikan keizinan dari si isteri dulu. Jika tidak berbuat demikian pasti panjanglah muncung si isteri. Silap-silap porak peranda rumahtangga hanya kerana kes memancing. MINTAK JAUHLAH...


Am nama manja kawan aku tu. Aku kenalnya sejak 4 tahun lalu. Umur dalam lingkungan 30an. Am punyai seorang isteri yang baik dan berkerja sebagai kerani am di sektor swasta dan mempunyai 3 orang cahaya mata. Sebelum ni Am ni tidaklah menonjol sangat dalam kegiatan memancing tapi lebih cenderung dalam bersukan terutama bolasepak. Aku kenal diapun kerana bolasepak. Tiap-tiap petang kalau tak hujan pasti turun ke padang. Minat yang mendalam dalam bolasepak ni tidak boleh dinafikan kerana kalau sehari tidak bermain dia pasti jadi murung seperti katak puru sakit perut. Kalau seminggu tak main, tubuh jadi lengah lumpuh bak kambing tercurah diesel dan kalau lebih dari tu tak tahu la... Oleh kerana kecederaan buku lali tak sendik-sendik, jadi dia mula berjinak-jinak dengan kegiatan memancing pula. Itu pun bukan secara sengaja tetapi oleh kerana kawan-kawan di sekelilingnya boleh dikatakan kebanyakannya kaki pancing. Setiap kali jumpa mesti offer. Bukan apa, kadang-kadang kita orang kesian juga pada dia kerana setiap hari cuti asyik terperak di rumah saja macam anak kucing kembung perut.

Mula-mula dia menolak. Boring la ngail ni..Tak ada joran la...Tak tahu ikat mata kail...dan macam-macam lagi alasannya, tapi lama-lama mengalah juga namun masih ada alasan 'sekadar mencuba'. Aku sangat yakin dan percaya dengan kata-kata orang dulu-dulu."Memancing ni berhantu...kalau dah gila, payah nak ubat!". Itulah terjadi pada kawan aku tadi.

Pada hari sabtu, hari cuti yang dihiasi cuaca yang sangat baik, aku bersama 5 rakan pergi memancing udang galah di sungai Pengkalan Ranggon. Kali ini Am turut sekali berbekalkan 3 joran pinjam dan umpan sponsor dari kawan-kawan. Setelah sehari suntuk memancing dapatlah Am naikan 11 ekor udang galah.

Keesokan hari, apabila bertemu, ungkapan Am kali ini lain bunyinya. " Bila korang nak pergi lagi? Berapa harga satu set joran yang macam kau tu? Dan yang paling mengejutkan, "berapa harga 'fiber' dan enjin 2.5 YAMAHA macam tu?". Dengan sekali turun ke sungai dan hanya dapat naikan 11 ekor udang galah kebanyakannya sebesar jari ibu kaki, Am dah mula nak gila.

" Yo ko demo nok beli semuo tu Ey?" (Betul ke kau nak beli semua barang-barang tu Am?) tanya salah seorang kawan yang tak percaya. Am senyum sambil menjawab " Saje je tanye... kalu ade hok seken hen muroh-muroh bolehla beli dok payoh nok minjang hok orang doh". (Saja tanya.. kalau-kalau ada yang second hand dan murah bolehlah beli, tak perlu nak meminjam hak orang lagi)

Pastinya gila dah hinggap kat jiwa dia. Seminggu kemudian, dia membeli 2 batang joran , 2 biji kekili kecil khusus untuk pancing udang galah dan beberapa peralatan berkaitan seperti batu landung dan mata kail. Semua itu katanya dalam RM135.00 Dia tunjukkan kepada aku dan beberapa rakan-rakan lain. Kami tidak menghampakan dia. Semua memuji dan memberi sepenuh galakan.. Lantaran itu semakin berkobar-kobarlah semangat dia.

Cuti hari sabtu berikutnya dimanfaat oleh Am bersama Leh yang ada bot untuk memancing di sungai Yak Yah dekat Kemaman pula. Kali ini dia guna joran dan umpan sendiri. Satu tempurung cacing tanah dan berbelas biji jantung ayam sebagai umpan. Setelah seharian memancing Am hanya dapat naikan 6 ekor udang galah. Tidak sepertimana mula-mula dia memancing minggu lepas. Sedangkan Leh partner satu bot dengan dia dapat lebih kurang 40 ekor.



"Dok rok cetong ar ari ni..." (Tak menjadilah hari ini) runggut Am



"Jorang mung sikit sangat, paling komang mung kena pakai lima nang batang..." (Kamu pakai joran sedikit sangat, paling tidakpun kena pakai lima atau enam batang) jawab Leh yang memancing dengan 9 joran. Am terdiam, fikirnya mungkin betul juga kata Leh tu tapi...



3 hari kemudian , Am datang ke rumah aku sambil membawa 3 batang joran dan satu bungkusan plastik. Nampak ada kotak kekili dan tali tangsi yang masih baru.


" Z... boleh dok mu tolong pegang kakah kail aku ni. Aku baru beli sakni..." (Z boleh tak tolong simpan peralatan kail aku ini. Aku baru saja beli)


" Bakpo pulok?.. Wak kelik ghumoh demo la, buleh pase tasi, bubuh timoh, dokla gadoh bilo nok gi ngail kekgi..." ( Kenapa pula? Bawa balik ke rumah kau lah, boleh pasang tali, siapkan batu landung, tidaklah tergesa-gesa bila nak pergi memancing nanti) balas aku. Muka Am berkerut pelik aku nampak mengalah lembu tertelan guni baja.


" Doh demo ghoyat molek ko kawe bakpo sapa dok beghanin nok wak kelik nih... Bini demo maroh ko?" (kau beritahu betul-betul pada aku kenapa sehingga tidak berani untuk bawa balik ni... Isteri kau marah ke?) sambung aku berselora bila tengok Am serba salah.

Am pun berceritalah masalah dia kepada aku. Minggu lepas semasa buat pertama kali dia membelanjakan RM135 untuk peralatan kail, terjadilah satu kejadian yang tidak dijangka olehnya. Bagaimanapun semangat untuk memancing tidak pernah patah kerana pengalaman pertama yang sunguh menyeronokkan telah mengikat kejap di lubuk mindanya.

Lebih kurang pukul 6 petang, Am sampai ke rumah dari bandar Dungun, dia keluarkan semua barang yang dibelinya seperti susu, biskut, pencuci tandas , buah-buahan dan sedikit barangan dapur. Selain itu 2 batang joran dan peralatan memancing lain turut dibelinya. 2 anak lelakinya yang masing-masing darjah 6 dan 4 meluru mendapatkannya untuk membawa barangan tadi untuk dibawa masuk ke rumah.
" Bawok molek jorang aboh tu, patoh kang..." (Bawa baik-baik joran abah tu, nanti patah) pesan Am pada anak-anaknya. Senua barang dilambak di ruang tamu. Ipah, isteri Am terlihat joran kail. Ada tertampal harga RM22.90 setiap satu. Lantas timbulah kerut-kerut di dahi Ipah sambil merenung joran kail itu. Am mula perasan dan rasa tidak sedap hati. Tiba-tiba....


" Abang nok wat mende nga jorang ning. Nok belajo ngail pulok ke? Mentang-mentang oghang wi gi sekali ari tuh, nok stat gile ar tu... Dok payoh ar". (Abang hendak buat apa dengan joran ini. Nak belajar memancing pula ke? Mentang-mentang saya beri pergi sekali hari itu, sudah nak mula gila lah ya.. Tak usahlah)Tempelak isteri Am dengan loghat Terengganu pekat.


" Ape salohnyo... nok minjang hok oghang sokmo dok sedap gok." (Apa salahnya... Tak tergamak nak meminjam kepunyaan orang selalu) akui Am.


" Dok payoh ngail la... Pah dok berahi..buang mase jer..Kalu nok makang udang sangat beli jer," (Tak usah memancinglah... Pah tidak suka... buang masa saja.. kalau rasa nak makan udang sangat, beli saja) Pintas Ipah. Am terkedu.
Tak sangka pula 11 ekor udang yang dibawa balik minggu lalu tak dapat merasuah hati Ipah untuk melulus permit memancing padanya. Bukan soal nak makan udang galah yang Am fikirkan tetapi keseronokan memancing sebenarnya yang Am cari setelah aktiviti lain tidak boleh dilakukan. Tapi, Ipah tak akan faham selagi tidak cuba memahami.


" Dok leh ke abang nok ngail, bukang curik hok orang pong..."(Tak boleh ke abang nak memancing, bukan mencuri pun) rayu Am.


"Bukang masaloh curi dok curi tapi bazir, tengok! sebatang jorang pun due puluh inggit lebih reganye.. Doh ni dua batang.. Bazir-bazir." (Bukan soal mencuri atau tidak tetapi membazir, tengok! sebatang joranpun dua puluh ringgit harganya.. Ini pula dua batang.. Membazir-membazir)Tekak isteri Am tanpa menyedari 2 biji kekili yang berada dalam kotak yang bernilai RM45 setiap satu. Kalau Ipah tahu harga kekili tu mampuslah...fikir Am.


" Dok sapa pong 20 rial jorang tu... harga tepek je tu..." (Tak sampaipun 20 ringgit joran tu...harga tampal saja tu) jelas Am lembut sambil itu Ipah membuka plastik lain termasuk yang berisi kekili. Am cuba mengalih tapi tidak sempat.


" Mende ni bang??? Kalu beli kakas skoloh anok-anok pung weh..., ni dok, nya beli barang dok paka makang...Wat jahnang pitih sunggoh!" (Apa ni bang? Kalau beli peralatan sekolah anak-anak pun...Ini tidak, membeli barang yang tidak berguna langsung...Membazir duit betul) Sound Ipah setelah terbeliak biji mata melihat harga yang tertampal di kotak kekili tersebut. Am terus terdiam sambil mengalih topik dengan mengarahkan anak-anaknya yang sejak tadi membisu menunggu kot-kot ada barangan mainan untuk mereka supaya pergi mandi. Sementara tidak jauh dari situ nampak buai anak bongsu mereka bergerak-gerak. Mungkin terkejut dengan suara Ipah yang agak tinggi tadi.


Barulah aku fahamlah kenapa Am mintaku tolong simpankan peralatan kailnya. Dan aku tersengeh sendiri dan tertanya-tanya apakah niat Am untuk miliki faber dan enjin sangkut sendiri akan tercapai kelak. Tapi aku rasa gelap masa depan. Sedihnya...

Pemancing macam aku ni mudah tersentuh bila dengar cerita Am tu, dan aku mula merasa hairan mengapa isterinya mati-mati tak benarkan Am memancing. Dengan alasan tidak menyukai, membazir dan membuang masa dengan kegiatan sebegitu, aku tak fikir ia rasional. Macam Am kata, bukan curi hak orang pun, hanya menuntut minat yang sebenarnya telah lama terpendam tetapi Am saja yang tidak tahu. Disamping itu mencari rezeki yang telah Tuhan sediakan kepada sesiapa yang rajin berusaha. Kalau nak tunggu udang galah melompat sendiri ke dalam kuali di rumah kita sampai kiamat pun tak dapat.



"Doh tu...kalu Pah tak mboh wi abang ngail, pah nok suruh abang wat mende?" (Habis tu, kalau Pah tidak beri abang memancing, Pah nak suruh abang buat apa?) tanya Am.


"Wat la bende-bende lain hok ade pe'doh sikit..." ( Buatlah apa apa-apapun yang berfaedah sikit) Jawab Ipah lepas.


"Ape bendela ade kat kampung kita ni Pah..Abang nok main bola dok leh doh, kaki jem, nok main bende lain dok reti. Abang nok beli video gen playstation Ipah takut anok malah bace buku. Doh apebende lagi selaing ngail. Tera Pah kabor?" (Apa yang ada di kampung kita ni Pah.. Abang hendak bermain bola sudah tidak boleh, kaki cedera, hendak main permainan lain, tidak pandai. Abang nak beli video game palystation Ipah tajut anak abai pelajaran. Habis tu apalagi selain memancing. Cuba Pah beritahu?) Jelas Am panjang lebar.



"Wat mende-mende pung asalkang bukang ngail...Pah dok berahi! ". (Buat apa-apa pun asalkan bukannya memancing... Pah tidak suka!) Jawab Ipah mudah.


" Ke nok suruh abang jadi mat rempit, tidok pung isap dadoh?" (Atau nak suruh abang jadi mat rempit, ataupun menagih dadah?) Ugut Am.


" Tu keje oghang gile...Kalu nanam sayur belakang umoh tu jadi guane. Ade gok pe'doh" (Itu kerja orang gila... Kalau tanam sayur di belakang rumah apa salah.. Ada juga faedahnya)Jawab Ipah sambil ke buaian untuk mendodoi anaknya yang merengek.



Esoknya selepas balik dari kerja, selepas mandi dan sembahyang asar,Am terus mengemas joran-jorannya dan masukan ke bonet kereta. Ipah tengok kehairanan sambil menghampiri.


" Abang nok wat gi mane jorang tu?" (Abang nak bawa ke mana joran tu?)


" Abang jual ke Leh doh... Taruh wat mende? Nok ngailpung dok buleh gok ". (Abang dah jual pada Leh.. Simpan untuk apa? Hendak memancing tidak boleh juga)

Am terus hidupkan kereta dan menuju ke rumah Leh tanpa menghirau Ipah yang terkebil-kebil. Kononya merajuklah, mana tahu Ipah simpati nanti. Sesampai di rumah Leh, Am meminta Leh tolong simpankan peralatan kailnya sementara mereka keluar memancing hari sabtu nanti seperti yang dijanjikan beberapa hari lepas.



Pada malam jumaat, sebelum tidur, Am telah memaklum kepada Ipah, bahawa esok pagi (hari sabtu) Leh ajak dia temankan ke kampung Leh di Besut. Ipah dalam keberatan benarkan juga asalkan bukan memancing dan pulang ke rumah sebelum malam.

Sejurus sahih Ipah dan anak-anak tidur lena, Am membungkus pakaian spare. Sepasang seluar lusuh, baju lengan panjang dan topi dan terus di masukan ke but kereta. Sehari sebelum itu, dia sudah meminta tolong budak-budak pra kat office dia tolong gali cacing dan order jantung ayam kat pasar.



Subhanallah... Itulah kalau dah minat. Sanggup menipu dan mencuri lagi. Nak kata apa?. Aku tergaru-garu kepala. Itulah kalau bini jenis suka mengongkong laki...Nak memancingpun kena curi-curi. Apapun tak boleh nak salah pada isteri 100% juga, selagi kita tidak tahu apa alasan sebenar sehingga susah sangat nak benarkan si suami memancing.

" Pah tuh demo ghoyat guano ko bini demo maso wat kelik ude?" (Jadi kau beritahu macamana pada isteri kau bila kau bawa balik udang) Tanya aku.


"Aku kate mung bui...ha ha ha..." (Aku kata kau yang beri)



" Dok molek demo wat lagu tu Ay, kalu jadi gapo-gapo susoh demo jugok.." (Tidak elok kau buat macam tu Am, kalau terjadi apa-apa kau juga yang susah) Rungut aku.

" Kalu aku kabo kate nok gi ngail, sohih doh dia dok wi aku gi. Mung tahu? Kalu dia prasang aku beli jorang baru ni, mapuh aku." (kalau aku beritahu nak pergi memancing tentu dia tidak benarkan. Kau tahu? Kalau dia tahu aku beli joran baru ini, matilah aku) Jelas Am sambil menunjuk joran di tangannya.



"Demo keno ghoyat molek ar.. kalu demo duk maen nipu gini sokmo koho payoh..pulok tuh sapa bilo?" (Kau kena beritahu elok-eloklah.. kalau kau asyik menipu selalu macam ni makin susah.. lagipun sampai bila?) Nasihat aku. Am angguk-angguk. Dia seperti memikir sesuatu sambil menghulur semua peralatan kail kepada aku dan dia pun balik. Risau aku dibuatnya. Menyesal juga aku beri galakan dulu, kalau aku...Arghhh, sesalpun dah tak guna! Lantak dialah. Setakat mana boleh bantu, aku cuba bantu selebihnya dia ikhtiar sendiri.



Selepas dari itu, hampir sebulan Am tidak turut sama memancing. Pernah juga rakan-rakan lain seperti Leh, ajak memancing tapi dia kata ada kerja. Aku tak pasti ya atau tidak dengan alasannya itu. Aku pula yang tahu 'halnya' agak takut nak pelawa sebab bimbang rumahtangganya goyang.

Semakin hari, semakin pelik perangai Am. Dengan geng memancing dah agak renggang. Kadang-kadang seperti dia sengaja ingin menjauhkan diri. Dia malu agaknya atau disekat oleh Ipah supaya jangan berkawan dengan puak-puak memancing macam aku. Entahlah... Nak ajak keluar minumpun payah. Aku bertanya khabar dengan kawan-kawan lain pun sama juga. Joran yang dia tinggalkan di rumah aku dah naik kulat begitu juga jorannya yang ada di rumah Leh.



Kebetulan pada satu malam, aku ada buat sedikit jamuan. Majlis kecil sempena menyambut hari lahir adik ipar aku yang datang ke rumah ketika cuti penggal persekolahan Aku menjemput Am sekeluarga. Kawan-kawan lain aku tak jemput. Sorry ya! Modal ciput. Setakat seekor dua ayam sahaja untuk dibuat BBQ dan sedikit mee hoon goreng.

Tak sangka pula... Am,Ipah dan anak-anaknya datang. Biasa susah Am nak keluar malam. Sepanjang majlis dan makan-makan tu, aku tidak menyentuh langsung pasal pancing memancing. Tidak seperti biasa kalau bertemu geng kaki pancing sampai jam 4 pagi pun tak habis-habis dengan topik memancing.



Selesai makan, sambil menonton TV aku keluarkan laptop dan aku buka folder gambar memancing aku. Sengaja aku nak tunjukkan pada Ipah . Mana tahu terbuka hatinya untuk membenarkan Am memancing macam aku atau kawan-kawan lain. Salah satu gambar Ipah tengok adalah gambar isteri aku sedang mengangkat udang galah. Ipah tersenyum sambil bertanya kepada isteri aku.





" Kak Long biasa ke ikut abang Z gi ngail...?" (Kak Long selalu ke mengikut abang Z pergi memancing?) Tanya Ipah






" Selalu gok..Pantang abang Z ajok, kak long mesti ikut... suka sangat bile boleh tarik udang..bla..blo..bla..blu..bla...bla...bli......." Dengan percikan air liur bersemangat dan penuh berbangga isteri aku cerita pengalamannya memancing sehingga kembang ternganga lubang hidungnya yang memang dah besar macam telaga buruk. Sedangkan Ipah buat 'deee' kerana langsung tidak dapat 'merasai' keseronokan yang dialami isteri aku tu.

Isteri aku sebenarnya tidak tahu masalah Ipah dan Am berkaitan memancing kerana aku tidak pernah bercerita pada dia.
Kalau nak tahu isteri aku ni ditubuhnya memang sudah mengalir darah sungai. Sebab itulah lambat ajak pasti nak ikut, baik di pantai, sungai dan paya. Darah dagingnya terutama abahnya dengan kata lain bapak mentua aku, masa muda-muda dulu boleh dikatakan spesis hantu jugalah dalam bidang menangkap udang dan ikan, tapi dulu memancing ni tidaklah seghairah sekarang. Jadi rejim-rejim seusia bapak mentua aku lebih kepada memukat, menjala dan kadang-kadang mengguna senapang ceracak. Justeru minat memancing yang ada pada bini aku ni memang sudah semula jadi.





Kerana minat yang bini aku ada itulah kebanyakkan peralatan kailku ditaja olehnya. Bukan nak nak menyohor tapi sekadar nak menunjuk, sebahagian peralatan kail aku hasil pemberian dia seperti satu bot (fiber) 12 kaki (RM850), 5 batang joran berserta kekili udang galah bernilai hampir RM1000, bayaran separuh dari harga enjin sangkut 8hp Mercury berharga RM3300 dan satu set joran pantai Banax Tornado 15' dan kekili Shimano Altigra 5500 dengan harga RM1200 dan aku yang berpendapatan tidak seberapa ini sungguh merasa bertuah dengan pemberian itu. Kalau nak harapkan dari aku sendiri tentu sampai sekarang belum tentu boleh merasa peralatan yang agak mahal begitu. Bagi sesetengah kaki pancing setakat kekili berharga RM lima enam ratus tu biasa saja tapi aku kira ini dah cukup hebat. Terima kasih wahai isteriku kerana memahami minatku.



Sambung pasal Am dan Ipah tadi... Setelah melihat seluruh album foto dari laptop tersebut mereka pun nak berangkat balik. Jam pun sudah melewati pukul 11 malam. Nampak raut Ipah agak tenang, Am pula beriak ria. Semasa bersalam, sempat Am membisik bahawa lesen memancingnya mungkin akan diluluskan. Aku senyum sambil angguk-angguk.




Beberapa hari kemudian Am datang ke rumah aku dengan penuh keceriaan lebih ceria dari lalat hijau yang jatuh ke dalam botol budu yang hampir kering. Aku dah dapat agak sesuatu. Dan memang betul... Am telah mendapat kebenaran dari Ipah untuk memancing. Aku juga tumpang gembira kerana akhirnya Ipah faham aktiviti memancing ini bukanlah sesuatu yang buruk.


Bagaimanapun aku agak terkejut bila permit memancing yang diluluskan oleh Ipah disertakan dengan syarat-syarat tertentu.
Pertamanya, mesti pergi memancing hanya dengan aku.
Kedua, tidak boleh menambah atau membeli peralatan kail baru, cukuplah mana yang ada.
Ketiga, handphone mesti on sepanjang masa dan kena call Ipah setiap satu jam ketika memancing.
Yang keempat , Am mesti sampai ke rumah sebelum maghrib.
Dan yang kelima, tidak boleh bawa kereta.



Alamak...! Macamana ni? Apa jenis syarat yang bini engkau draf ni? Tak masuk akal langsung...! Rungut hati aku.




Am perasan aku terkedu mengkarung dengan syarat-syarat yang dikenakan, dia terus bingkas memberi penjelasan. Aku harap ada logik dalam penjelasan itu.



Hujah Am...
Pertama, Ipah rasa tidak selamat kalau Am pergi dengan orang lain, katanya aku pandai driver bot sebab dah lama 'main' kat sungai mancing udang galah ataupun ikan siakap. Nak tergelak aku dengarnya. Kalaulah dia tahu aku sudah beberapa kali terlingkup faber semasa memancing kerana terkejut dengan ular, ataupun terlanggar tunggul kayu, nampaknya lesen memancing Am kena tarik baliklah.


Kedua, simpan duit. Jangan bazirkan dengan hobi memancing semata-mata. Banyak lagi benda lain boleh dibuat dengan duit dari membeli peralatan kail yang hanya untuk satu tujuan.


Yang ini sebahagiannya aku setuju tapi takkanlah ada bapak yang tergamak biar anak mereka tak ada pensel nak ke sekolah semata-mata nak beli joran kail. Lagipun beli alat kail ni bukannya tiap-tiap hari. Sekali beli mau tahan sampai dua tiga tahun kalau pandai jaga.
Ketiga, kes kena buat laporan setiap jam ni kerana Ipah nak pastikan Am dalam keadaan selamat sepanjang masa semasa memancing....Tapi Ipah, orang lainpun sayangkan laki jugak tapi tidaklah sampai satu jam sekali kena beritahu apa yang berlaku. Nak memancing lagu mana kalau asyik kena genggam handphone. Pakai hand's free..? Pandailah engkau.


Keempat... Ipah bimbang Am akan tertinggal sembahyang maghrib. Hak..hak...hak.. ketawa aku jadinya. 'Aku rasalah Am ni sembahyangpun isteri yang tolong ingatkan'. Ipah..Ipah, masakan nak tinggal sembahyang. Mana-mana tempat boleh tunaikan kewajipan itu janji bersih, tak semestinya di rumah. Tetapi kalau dah jenis culas, di rumahpun susah nak buat.
Kelima... Tidak boleh bawa kereta kerana Ipah nak guna untuk bawa anak jalan-jalan atau membeli lauk pauk di masa ketiadaan Am. Tak kisahlah... Kereta aku ada tapi sesekali minyak kena isi jugak.





" Kawe dok leh nok ajok demo ngail nga kawe kalu lagu nih gak...." (Aku tak boleh ajak kau memancing bersama aku kalau macam ni) Tegas aku sambil ketawa.
" Gilo ko apo bini demo wat sarat gitu." (Gila atau apa isterimu buat syarat begitu) Sambung aku dengan tersengih. Air muka Am berubah dan aku tidak sanggup kecewakan dia lalu mengsyorkan sesekali bolehlah ikut macam kehendak bini dia tu. Dia senyum sumbing bak belut memerut.


Aku tiada pilihan, aku terpaksa cerita kepada beberapa rakan-rakan lain tentang masalah Am itu supaya mereka tidak tertanya-tanya. Rasanya tak salah cerita aku tu, namun ketawa sakan mereka apabila mendengarnya. Nasiblah... Kerenah Ipah menyebabkan Am jadi bahan lawak oleh rakan-rakan. Walaupun tergelak hampir tercabut anak tekak, jauh disudut hati, aku dan rakan-rakan sangat simpati dengan apa yang dilalui Am.





Hendak dijadikan cerita, beberapa hari kemudian, aku bertemu dengan seorang kawan Ipah. Dia bekerja bersebelahan dengan pejabat aku. Namanya Mah. Dia tersenyum kepada aku namun bukan kerana dia nak mengorat aku yang separa hensem ni, tetapi sebab dia tahu aku berkawan dengan suami kawannya Ipah. Dia bertanya khabar pasal Ipah dan Am, aku jawab baik. Agak ku macam dah lama dia tak jumpa dengan Ipah. Memang benar, sudah lama, sudah hampir 5 tahun katanya. Kenapa? Semenjak Ipah dan Am ada krisis rumahtangga. Krisis rumahtangga? Tidak tahu pula aku.


Kata Mah. Dulu Am bukan saja minat main bola tapi dia juga minat main badminton. Setiap 2 malam sekali dia mesti ke dewan yang terletak lebih kurang 5 kilometer dari rumahnya untuk bermain badminton. Ipah juga minat bermain badminton tetapi Am tidak pernah ajak bermain bersama dengan alasan jaga anak di rumah. Ipah akur. Oleh kerana minat, Ipah belanja raket berjenama kepada Am. Ipah tahu Am banyak menghabiskan duit untuk sukan kegemarannya itu bagaimanapun dia tidak kisah kerana itu minat suami tercinta lagipun jauh lebih baik dari lepak kat kedai kopi sambil bermain dam ataupun terup.


Semakin lama semakin kerap Am berbelanja untuk sukan itu sedangkan tiada apa yang dapat dilihat oleh Ipah walaupun sehelai guard lutut baru. Yang ada cuma yang sudah kecoklatan dan berbintik-bintik warnanya. Kalau dibasuh bersama kain lain tentu semua bertukar warna jadi kelabu asap. Apabila ditanya, kawan yang pinjam jawab Am. Ipah merasa curiga terhadap Am lalu mengajak Mah kawannya sejak sekolah untuk buat spotcheck, di dewan di mana Am bermain badminton.


Terkejut buaya Ipah, ternganga melompong bila diberitahu Am sudah lama tidak bermain badminton di situ. Habis tu dia main badminton kat mana? Ipah mula naik angin. Kepala hotaknya mula meracau-racau. Baru dua hari pinjam duit Ipah kata nak beli raket baru. Kononya raket lama dah bengkok . Selidik punya selidik rupanya Am sedang bermain tin-ton dengan pelayan kedai kopi tidak jauh dari dewan itu. Tidak syak lagi! Ipah tengok sendiri pelayan wanita kedai makan yang juga kekasih gelap gelita Am keluar dari kereta yang ansurannya dibayar oleh Ipah. Dalam tempurung kepala Ipah telah penuh dengan api kemarahan sehingga otak kewarasannya terhimpit-himpit dan hampir meletup tetapi nasib baik akal sempat berfikir lalu ajak Mah pulang. Kalau tidak, di depan kedai makan itu juga Ipah mengamuk.

Di rumah, kata Mah... Hajat Ipah hendak mengamuk akhirnya tercapai jua. Macam gunung berapi sedang gelegak sambil memuntahkan lahar. Berdentum detam bunyinya guruh nyaring dari mulut Ipah berserta pula panahan kilat periuk belanga dan pinggang mangkuk menyambar dinding serta almari. Sesekali menyusur laju dekat-dekat dengan kepala Am. Tiada siapa berani halang ketika itu termasuk Mah walaupun tubuhnya sesaiz sofa rumah Am. Tidak cukup dengan itu, Ipah selit pula tendang terajang dan tumbuk menumbuk. Am pula macam anak kera ketakutan dikejar tebuan tanah sambil meronta-ronta menghalang serangan Ipah.

Selepas kejadian itu, Am tidak lagi keluar malam kecuali kerana terpaksa membeli barangan dapur atau lamping anak. Itupun dengan peruntukan masa tidak lebih dari setengah jam. Kalau lebih dari masa yang ditetapkan banyaklah soalan yang perlu Am jawab.



Sahlah... Syarat permit memancing tadi berkaitan sejarah hitam Ipah sebelum ini. Aku tidak boleh salahkan Ipah. Jika bukan Ipah jadi bini Am pun aku rasa akan berbuat demikian malah mungkin lebih teruk. Ipah benar-benar rasa ditipu atau dipermainkan oleh Am.




Jadi... Syarat kebenaraan Ipah pada Am jika nak memancing bagi fahaman aku lebih kurang macam nilah...
Ipah percayakan aku. Bukan kerana aku berpengalaman kendali bot tapi mengharap aku dapat control Am sebab dalam ramai-ramai rakan Am akulah yang paling tua. Tetapi...Jangan menyesal Ipah kalau aku terlupa nak beritahu yang Am ada awek lain nanti.


Ipah tidak benarkan Am beli atau tambah peralatan kail kerana Ipah takut bukan peralatan kail yang dibeli tetapi buat belanja awek lain. Kesianla aku Ipah...Tak kan aku pula yang kena belanja mata kail, batu landung dan tali perambut untuk Am.


Ipah mahu Am sentiasa hubunginya setiap sejam sekali kerana Ipah bimbang Am sedang bergayut dengan awek lain. Selain Ipah sendiri call bagi pastikan handset Am tidak engage. Habis!! kalau turun hujan pada hari memancing tu macamana? Jangan pula kau mengamuk bila Am balik nanti.


Ipah tidak benarkan Am balik malam-malam kerana Ipah takut Am ada dating dengan awek lain. Tak kisahlah... sebaik pukul lima petang, aku hantar Am ke darat, pandailah dia nak balik...Kalau nak balik dengan aku jugak, pukul 10 malam belum tentu sampai lagi.




Padat syarat engkau Ipah. Pendek kata tiada ruang langsung untuk Am berlebih-lebihan. Kepada Am, sebaiknya kau carilah hobi lain. Aku tidak sanggup bersubahat dengan birokrasi seperti itu. Hendak memancingpun bersyarat itu dan ini baik tidak payah. Aku ni jenis pemancing yang tidak memerlukan jadual daripada orang lain. Sebagai sahabat baik... aku nasihatkan engkau carilah bomoh supaya dapat halau hantu yang membuat engkau jadi gila memancing tu. Aku malas nak jadi peguam yang akan menjawab setiap soalan dari binimu kelak. Itu kata putus aku dan rakan-rakan yang lain. Moga engkau faham.

Aku harap engkau pandai-pandailah memujuk isterimu itu tanpa berputus asa sehingga segala sangka buruk isteri terhadapmu itu terhakis sepenuhnya andainya benar-benar engkau minat memancing. Satu perkara lagi, jadilah suami yang baik, bertanggungjawab dan tegas. Ingat lelaki adalah ketua keluarga kepada isteri dan anak-anaknya, janganlah sampai isteri yang membuat keputusan dalam segala hal, apalagi hal lelaki seperti memancing . Apa nak dirisau atau ditakutkan selagi aktiviti itu tidak mengganggu tanggungjawab dan moral.







Tiada ulasan: